Pelawak dan penyampai radio, Rahim dan Jep Sepahtu mengakui tidak tahu Shuib mencukur kepalanya separa botak di belakang pentas sebelum persembahan Sepahtu Reunion Live bermula, Jumaat lalu.


Rahim berkata, pihak produksi juga tidak memberitahu apa-apa tentang perkara tersebut sehinggalah Shuib membuka songkok yang dipakainya di atas pentas, ketika sedang bersiaran langsung.


"Terus-terang saya sendiri tidak tahu apa-apa pun mengenai Shuib yang bakal muncul dengan kepala botak di bahagian tengah.

"Saya tidak terfikir langsung Shuib akan buat kejutan begitu kepada kami kerana apabila dia menutup kepalanya, saya dan Jep masih nampak rambutnya seperti biasa.


“Rupanya itu rambut di bahagian tepi sahaja dan bila dia buka songkok, saya dan Jep tak boleh tahan ketawa tengok ‘rupa’ dia masa tu.


"Namun saya kagum dengan tindakannya itu kerana ia benar-benar mengejutkan!” katanya kepada Astro Gempak.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad juga telah memuatnaik video kepalanya dicukur sehingga botak di belakang pentas di instagram (IG).

Sepahtu Reunion Live merupakan sebuah rancangan sitkom komedi pertama yang disiarkan secara langsung dengan menampilkan 4 orang pelakon komedi tetap dan diserikan dengan tetamu jemputan menerusi pelbagai topik menarik yang akan dilakonkan selama 1 jam.

Ia bersiaran pada setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam bermula 18 Disember lalu selama 10 minggu.

Sepahtu Reunion Live bersiaran secara langsung dari Sound Stage Studio, Finas serta ditayangkan terus menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134).

Teks oleh: Syafiqah Jalal