Pelakon Livonia Ricky, 25, menganggap drama bersiri Isteri Tuan Ihsan memberikan semangat baru buat dirinya dalam bidang lakonan.

Pemilik nama sebenar Livonia Ricky Guing ini kini dikenali menerusi watak Violet yang dibawakannya. Dalam Isteri Tuan Ihsan, gadis Bidayuh kelahiran Kuching, Sarawak ini membawakan watak Violet, rakan baik kepada Seroja Irdina lakonan Amyra Rosli.

“Selepas memenangi tempat pertama dalam program realiti Pilih Kasih 2 pada tahun 2011, saya menjadi pelakon sepenuh masa. Saya juga pernah tampil sebagai pengacara bersama dalam rancangan Suka Lattew disamping Alif Satar dan Shahrol Shiro.

“Berbanding rakan-rakan seperjuangan lain dalam Pilih Kasih 2 seperti Cristina Suzanne, Lia Natalia dan Ungku Hariz, kerjaya saya dalam bidang lakonan masih belum mendapat perhatian.

“Namun begitu, drama bersiri Isteri Tuan Ihsan memberikan semangat baru buat saya. Drama bersiri ini kembali menaikkkan nama saya dan peminat mula mengenali menerusi watak Violet

“Peminat juga memberikan maklumbalas positif mengenai lakonan saya menerusi laman Instagram. Saya bersyukur kerana drama bersiri ini memberikan harapan baru buat saya,” kata Livonia kepada Astro Gempak.

Tidak mahu mengalah, Livonia percaya tahun 2017 menjadi petanda untuk dirinya lebih berusaha keras dalam bidang lakonan.

“Kadangkala saya pernah terfikir untuk mengalah. Melihat kerjaya saya kurang menyerlah membuatkan saya hampir berputus asa. Namun begitu, saya kembali menguatkan tekad memandangkan bidang lakonan memang menjadi minat saya.

“Terima kasih kepada pihak Astro, pengarah drama bersiri ini serta Global Station yang memberi peluang untuk saya sama-sama terlibat dalam Isteri Tuan Ihsan. Saya tidak akan berhenti mencuba dan bakal berusaha lebih keras pada tahun 2017,” katanya ketika ditemui di Majlis Meet & Greet Eksklusif Isteri Tuan Ihsan di Flora Terrace, Kuala Lumpur pada Selasa.

Majlis Meet & Greet Eksklusif Isteri Tuan Ihsan ditaja oleh Chriszen bersama Astro Circle, Suria Resorts & Hotel, Rollin' Oats dan Peti Gambar Photobooth.

Jangan lupa saksikan episod akhir drama bersiri Isteri Tuan Ihsan pada jam 10.00 malam ini di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal