Pengacara popular Nabil Ahmad dan Jihan Muse sekali lagi diberi ‘mandat’ untuk mengendalikan Anugerah MeleTOP Era atau AME2020.

Bertemakan ‘Yang Epik, Yang Legend’, AME2020 bakal diadakan pada 12 April 2020 jam 9 malam di Axiata Arena.

AME2020 kali ini juga bakal memperkenalkan tiga kategori baru untuk menggantikan tiga kategori sedia yang digugurkan bagi penganjuran edisi ketujuh ini.

Kategori yang digugurkan termasuklah porgram radio MeleTOP, penyampai radio MeleTOP, dan artis lawak MeleTOP.

Tiga kategori baru diperkenalkan pula adalah artis versatil MeleTOP, influencer MeleTOP dan
Top Top MeleTOP untuk kumpulan/duo.

Anugerah khas yang memfokuskan kepada ‘unsung hero’ juga kini ditambah kepada satu lagi iaitu anugerah epik MeleTOP.

Anugerah tersebut diberi kepada sesiapa saja dengan pencapaian terbaik sepanjang 10 tahun.

Sementara itu, Ketua Stratergi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, jenama AME terus dominan dan berada pada tahap terbaik kerana berjaya membuka dimensi baru dalam memartabatkan karya dan nilai komersial anak seni tempatan.

“Penganugerahan hiburan berskala besar mampu menjadi pembakar semangat kepada penggiat seni,” katanya.

Raqim berkata demikian pada majlis sidang media AME2020, hari ini.

Menerusi sidang media tersebut juga, calon Top 20 untuk 15 kategori turut diumumkan.



Untuk rekod, senarai pencalonan Top 20 ini telah disenarai pendek menerusi sesi penilaian tertutup oleh panel juri khas.

Talian undian fasa pertama untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal dibuka mulai hari inu pada jam 6 petang hingga 25 Februari.

Undian boleh dibuat secara atas talian di dua platform iaitu di laman web rasmi AME2020 www.anugerahmeletopera.com.my atau menerusi aplikasi SYOK.