Kontroversi kes cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang melanda Datuk Seri Vida (DSV) ketika sedang menjalani penggambaran The House merupakan pengalaman hidup yang tidak mungkin dilupakan jutawan kosmetik itu.

Menerusi episod kelima The House Rabu lalu, jelas menunjukkan DSV tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya apabila kepulangannya dari mahkamah di sambut oleh suami dan anak-anak.

Suasana pilu dan air mata menyelubungi The House apabila anak DSV, Nur Edlynn Zamileen atau Cik B dan Muhammad Eric Zacquan yang mesra dipanggil Kacak turut sama mengalirkan air mata dan menangis teresak-esak.

Tangisan Cik B dan Kacak, seolah-olah memahami kesulitan yang sedang dilalui oleh ibu mereka.

DSV ketika ditemui Astro Gempak di The House berkata, dia sedikit pun tidak menyangka kes tersebut menjadi kes negara dan besar.

“Pada hari saya dipanggil ke mahkamah, saya masih menjalani penggambaran di The House. Mujur pihak produksi faham dan membenarkan saya untuk menyelesaikan perkara tersebut dahulu.

“Mereka juga tidak memaksa saya untuk menyambung penggambaran pada hari yang sama, tetapi saya pulang ke The House dari Ipoh kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain pula.

“Lagipun kalau saya tak habiskan penggambaran, rosak program orang. Saya buang segala emosi tetapi saya sakit kepala dan jantung kerana terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Tambah DSV lagi, kejadian tersebut tidak akan dilupakan dan menganggapnya sebagai dugaan hidup.

“Saya pernah diuji dengan kejadian yang lebih besar daripada ini, iaitu ketika kehilangan dua anak saya yang terkorban dalam kebakaran pada Ogos 2013.

“Sakit...memang sakit, tetapi hidup mesti diteruskan. Saya perlu menjaga kesihatan dan kebajikan diri saya untuk ahli keluarga saya,” ujarnya.

Bercerita pengalaman merakamkan “The House,” DSV bersyukur kerana program tersebut telah mendekatkan hubungan mereka sekeluarga.

Katanya, seminggu dalam program itu diharungi dengan tenang dan segala kehendak program dipatuhi.

“Jika sebelum ini masa saya bersama keluarga sangat terhad, tetapi di The House kami melakukan banyak benda yang dah lama kami tak lakukan bersama.

“Saya happy, anak-anak saya Cik B dan Kacak pun sama-sama menikmati ‘percutian’ kami di The House,” katanya.

Kepada anda yang terlepas untuk menonton The House minggu lalu, tonton THE HOUSE di sini kerana episod kelima ini pasti membuatkan korang semua menangis tak cukup tisu!

Untuk episod terbaru The House, layari laman web kami setiap Rabu bermula 4 petang.

Oh ya! Jangan lupa saksikan juga DSV dan keluarganya di kaca televisyen dalam The House 2 yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap Rabu jam 9.30 malam.