Penyanyi Zarul akui telah menerima tawaran berlakon untuk sebuah drama bersiri sebanyak 16 episod dan penggambaran akan dimulakan pada bulan depan.

Menurut Zarul, dunia lakonan merupakan cabang seni baru yang ingin dicuba selepas mendapat tempat ketiga dalam pertandingan GegarVaganza 3 baru-baru ini.

"Apabila mendapat tawaran untuk berlakon ia adalah rezeki yang tidak dijangka setelah saya membuat keputusan berhenti kerja menjadi anak kapal untuk Malaysia Airlines.

"Cuma buat masa sekarang tajuk drama saya tidak boleh kongsikan atas sebab-sebab tertentu.

"Jadi kepada peminat saya diharap dapat bersabar, apabila tiba masanya nanti saya akan kongsikan tajuk drama yang saya berlakon bersama dengan barisan pelakon yang lain," kata Zarul ketika dihubungi Astro Gempak.

Dalam pada itu, Zarul juga menerima tawaran untuk menjadi pramagura syarikat penerbangan lain secara sambilan.

Namun, dia masih lagi mempertimbangkan tawaran tersebut.

"Pramugara sambilan tersebut, tugasannya adalah menghantar jemaah umrah atau haji ke mekah.

"Apabila perkhidmatan anak kapal diperlukan, barulah pihak penerbangan panggil.

"Apa-apa pun saya masih belum buat apa-apa lagi keputusan, buat masa sekarang lebih fokus dengan kerjaya nyanyian," katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir