Pelakon Sharnaaz Ahmad mendedahkan sebab dia mendiamkan diri daripada berkongsi hal rumah tangganya dengan isteri, usahawan Noor Nabila kepada umum.

Jelas Sharnaaz apa saja yang dilakukan adalah kerana anak lelakinya, Jebat Jayden Ahmad.

"Kenapa aku memilih untuk diam dalam isu rumah tangga? Kerana Jebat. Hanya Jebat.

"Kebenaran tidak seperti yang didambakan, biar Allah dan orang terdekat saja yang tau.

"Tak perlu menjadi sorakan orang luar. Baik buruk sang suami atau isteri, dia tetap pernah menjadi yang teristimewa. Let it be that way," tulisnya.

Kenyataan itu dibuat menerusi akaun Instagram Stories miliknya.



Tambah pelakon drama Lelakimu Yang Dulu menyatakan tindakan Nabila mengeluarkan kenyataan itu dianggap tidak manis dan salah.

Sharnaaz bagaimanapun tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Nabila menerusi platform media sosial.

"Kalau isteriku (masih lagi la) ingin berbicara tentang suaminya, itu dah tak betul, dan kurang manis kecuali lelakinya berlaku kasar, curang atau dayus.

"Namun tidak akan aku menghinanya di mana-mana ruang media, sebab apa? Satu sebab, Jebat Jayden Ahmad bin Sharnaaz Ahmad," tulisnya lagi.



Terdahulu, kakak kepada pengacara, Neelofa akui sudah tawar hati kerana tidak nampak usaha Sharnaaz untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.

BACA: "Sharnaaz Tak Ada Usaha Berdamai, Saya Memang Tak Nak Teruskan" - Noor Nabila

Pada 6 November 2019, mahkamah memerintah melantik wakil dalam proses timbang tara (hakam) berhubung kes perceraian pasangan tersebut selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik.

Menerusi proses terbabit, mahkamah mempunyai kuasa melantik dari kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak, iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Pihak Sharnaaz melantik salah seorang rakan baiknya, manakala Nabila memilih bapa tirinya menjadi hakam.

Namun begitu, keputusan laporan hakam yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sebentar tadi gagal menemui kesepakatan untuk mencapai persetujuan.

Mengikut Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, sekiranya kedua-dua hakam tidak bersepakat, maka hakam tersebut digugurkan oleh mahkamah.

Hakim juga telah menetapkan 27 Februari 2020 untuk melantik hakam yang baru yang mempunyai kuasa untuk melafazkan cerai bagi pihak suami.

Sharnaaz dan Nabila bernikah pada 31 Mac 2017 di Hotel Royale Chulan, Damansara, Selangor.

Hasil perkahwinan itu, pasanngan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden.