Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, berkata dia akan melancarkan album terakhirnya yang menelan kos sebanyak AS$50,000 (RM230,000) tidak lama lagi.

Menurut Hafiz, 32, album yang dihasilkan di Turki itu sedang dalam proses adunan terakhir dan ia merupakan album keluarannya yang terakhir.

"Album tersebut sebenarnya kini sudah siap tetapi ia masih dalam proses adunan terakhir di Turki dan kosnya agak tinggi selepas mata wang Amerika Syarikat melonjak naik berbanding Ringgit Malaysia.

"Jadi saya biarkan ia dahulu dan fokus melakukan singgle dahulu kerana Insya-Allah April tahun depan saya akan lancarkan album terakhir itu.

"Ini kerana penghasilan album tidak lagi relevan memandangkan landskap industri muzik pada hari ini lebih menjurus kepada penjualan single.

"Sebelum ini hendak menjual 20,000 unit album dalam satu bulan adalah mudah tetapi sekarang sangat susah," katanya kepada Astro Gempak.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu bertajuk 'Yang Dinantikan' di Restoran Rebung, Kuala Lumpur.

Tambah Hafiz, album tersebut akan memuatkan sebanyak 14 buah lagu dan ia akan dilancarkan pada tahun depan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi