Kumpulan Sepahtu akui bimbang jikalau mereka tiba-tiba menjadi 'blank' ketika beraksi dan berlakon secara langsung dalam Sepahtu Reunion Live.

Salah seorang ahli Sepahtu iaitu Rahim berkata dia harap perkara hilang idea secara tiba-tiba itu tidak berlaku serentak kepada mereka bertiga kerana ia bakal menjadi perkara yang sangat memalukan.

"Saya orang yang paling tak percaya diri saya boleh buat bila ditawarkan untuk beraksi secara live kerana di antara mereka, saya rasa saya paling senang jadi 'blank' di atas pentas.

"Jadi saya beritahu mereka apa-apa yang berlaku jika salah seorang tiba-tiba 'blank' harap yang lain dapat membantu atau melindunginya supaya ia tidak nampak cacat di atas pentas.

"Namun saya percaya kami bertiga boleh lakukannya kerana sebelum ini pun biasa beraksi spontan, cuma kali ini ia secara langsung dan jika ada tersilap atau tidak menjadi kami tidak boleh lakukan kembali," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Rahim, Sepahtu yang dianggotai oleh Jep dan Shuib itu dicabar untuk tidak melakukan sebarang latihan untuk persembahan Sepahtu Reunion Live kerana tajuk hanya diberikan sehari sebelum hari sebenar.

Namun Jep memberitahu mereka beruntung kerana sering berjumpa dan berbincang kerana sama-sama bertugas sebagai penyampai radio dalam Sepahtu Sinar.

"Kami tiada skrip dan semua akan dipersembahkan secara spontan serta tiada rehearsal sekalipun.
"Jadi kami menggunakan kesempatan perjumpaan kami bersama di Sepahtu Sinar untuk berbincang apa topik kemungkinan yang akan diberikan supaya kami dapat membuat sedikit persiapan," katanya lagi.

Sepahtu Reunion Live disiarkan secara langsung dari Sound Stage Studio, FINAS serta menerusi saluran Warna (132) dan Mustika HD (134) setiap hari Jumaat jam 10 malam.

Teks oleh: Syafiqah Jalal