Penyanyi yang kini bergelar pelakon, Mark Adam mengakui kehidupannya kini sedikit selesa berbanding awal pembabitannya dalam industri seni tanah air.

Mark atau Fikri Mark Adam, 37, berkata, dia bersyukur dengan rezeki yang diterima dan berharap agar perjalanan kariernya dapat berjalan lancar pada masa akan datang.

"Kalau dulu gaji saya kira-kira RM2,500 sebulan tetapi sekarang dalam RM4,000 sebulan.

"Saya tetap bersyukur dan jika banyak gaji saya bulan itu dapat juga saya berkongsi dengan ahli keluarga yang lain untuk meringankan beban mereka.

“Sebenarnya susah untuk saya berada di tahap sekarang namun semuanya terjadi secara tiba-tiba dan saya merasakan perjalanan ini seperti menaiki tangga, saya naik satu demi satu langkah menuju ke atas," katanya.

Mark berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telefilem Oh My English!, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun namanya kini sedang meningkat naik sebagai pelakon namun Mark tetap meletakkan fokus utamanya terhadap bidang muzik.

"Saya suka berlakon walaupun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan pada masa sama nyanyian adalah keutamaan saya," katanya.