Riuh dan meriah! Itulah yang dapat digambarkan apabila dua genre muzik reggae dan ska bersatu di atas pentas yang sama di Skankin Festival 2016 yang telah berlangsung di KL Live, Sabtu lalu.

Konsert yang diberi nama Skankin Festival 2016 ini telah menghimpunkan barisan band reggae dan ska yang terkenal serta terbaik di Malaysia buat julung-julung kalinya.

Mereka adalah Salam Musik, Gerhana Ska Cinta, Purevibracion, Republic of Brickfields, Plague of Happiness, Sharpshooter, Skudap Skudip, Wakakukz, Johny Comes Lately, Rosewood, Mbex Firdaus and The Souljah, dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Kesemua band menggunakan peluang yang diberikan sebaik-baiknya dengan mempersembahkan lagu-lagu hit dan cover mereka dengan cukup hebat dan menggamatkan pentas itu.

Suasana KL Live gamat dan riuh rendah dipenuhi peminat-peminat muzik reggae dan ska menyaksikan mereka ber’skankin’, iaitu gerakan tarian ‘signature’ apabila mendengarkan dan ‘layan’ muzik itu.

Skankin Festival 2016 bermula tepat jam 3 petang dan berterusan sehingga ke jam 12 tengah malam menyaksikan 14 buah band reggae dan ska beraksi termasuk dua buah band jemputan sebagai pembuka pentas iaitu Hadi La Familia dan Rivernation.

Konsert yang berlarutan selama hampir 9 jam itu mempersembahkan lebih 80 buah lagu daripada kesemua band.

Selain itu, satu anugerah khas Skankin Festival 2016 telah diberikan kepada Pak Aru, vokalis dan pemuzik dari kumpulan lagenda terkenal, Republic of Brickfields, mengiktiraf penglibatannya yang cukup lama dan berpengalaman dalam dunia muzik reggae.

Satu kumpulan yang cukup tidak asing bagi peminat-peminat muzik reggae dan ska, Plague of Happiness menutup tirai pentas dengan persembahan mereka yang cukup bertenaga.

Pihak Cartel Production selaku penganjur Skankin Festivcal ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung, mahupun tidak langsung dan kepada para media atas sokongan yang berterusan.

Skankin Festival ini dijangka akan diteruskan dengan siri konsert jelajah seluruh Malaysia pada tahun hadapan.