Bintang kelahiran Big Stage 2019, Sheryl Shazwanie mengakui dirinya kini sedang berkawan rapat dan mengenali hati budi pelakon yang juga penyanyi, Azzam Sham.

Sheryl atau nama sebenarnya Sheryl Shazwanie Shamsulbahri, 22, memberitahu bahawa mereka mula berkenalan sejak sama-sama menyertai dunia nyanyian pada 2015.

"Saya mengakui memang ada berkawan dengan seorang lelaki yang saya boleh katakan cukup rapat dengan saya buat masa ini.

"Orang itu ialah Azzam Sham. Bolehlah kalau nak kata dia itu sebagai 'kawan' mesra," kongsinya ketika ditemui sewaktu program Ambang 2020 yang berlangsung di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Pelantun lagu Perasaan itu juga memaklumkan hubungannya dengan Azzam juga sudah diketahui pihak keluarga.

"Bagaimanapun, saya tidak terfikir hal kahwin lagi. Masih jauh lagi. Lagipun, kami berdua masih muda 22 tahun," katanya.

Kata Sheryl lagi, hubungan mereka juga menjadi semakin rapat apabila masing-masing bernaung di bawah label syarikat rakaman sama, MVM Production.

"Saya juga akan muncul dengan single duet bersama Azzam nanti," katanya.

Azzam atau nama sebenarnya, Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 22, merupakan penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Idola Kecil.