Pelakon Jue Aziz akui lebih hati-hati dengan sesiapa yang dia berurusan selepas melalui episod duka diperdaya oleh orang dikenali dalam bidang perniagaan.

Jue Aziz atau nama sebenarnya Zuliana Aziz,33, berkata selepas diperdaya, kariernya ketika itu terganggu dan terpaksa berehat seketika untuk menyelesaikannya.

"Saya tidak dapat memberitahu secara details tetapi apa yang saya boleh katakan saya pernah diperdaya oleh orang dalam bidang perniagaan yang semata-mata mengunakan populariti yang saya ada ketika itu untuk menaikkan jualannya.

"Saya seorang yang lembut hati dan ketika ditawar untuk bekerjasama saya terbuka kerana saya sendiri seronok untuk membantu orang lain berniaga.

"Selepas saya memberi fokus kepada perniagaan itu dengan terpaksa berhijrah ke luar Kuala Lumpur serta meninggalkan karier lakonan buat seketika, orang itu menghilangkan diri dengan menyerahkan segala urusan kepada saya tanpa menjaga kebajikan saya dan pekerja lain.

"Terus-terang ketika itu sayan sangat down kerana apa yang saya impikan selama ini jadi sebaliknya. Mujur ada suami dan ibu saya yang sentiasa memberi semangat.

"Jadi saya kini lebih hati-hati dengan sesiapa sahaja yang mahu berurusan dengan saya supaya perkara sebegini tidak berulang lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu, Jue memberitahu kini dia mahu memberi fokus kembali dalam bidang lakonan selain menjadi duta kepada produk kecantikan Queen of Mutiara.

"Kini saya sudah berhijrah kembali ke Kuala Lumpur dan menjalani kehidupan seperti biasa dan sudah memulakan beberapa penggambaran untuk drama terbaru.

"Saya masih lagi dalam industri dan kini saya baru sahaja tamat penggambaran drama Rombongan Marhaban Sesat Jalan," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal