Penyanyi popular era 1990-an, Oja kini kembali bersama kumpulan Tunable Band dengan single terbaru berjudul Cukup Sekali.

Oja pernah tampil dengan beberapa album termasuk Anak Jalanan (1992), Oja & Mastura (Ceneke) (1994) serta Oja & Mastura (Apo Salah Eh) pada tahun 1995 pernah mewarnai dunia seni hiburan tanah air.

Kini Oja kembali dengan barisan tulang belakang yang merupakan para pemuzik dan menamakan diri mereka sebagai Oja and Tunable Band.

Kumpulan ini adalah satu karya intensif bersifat opera muzikal yang diusahakan bermula dari awal tahun 2015 hingga 2016.

Pada asalnya, projek ini bermula daripada reunion kumpulan Spoon yang akhirnya bergabung dengan Oja, membawa satu nafas baru dalam seni muzik dalam mengetengahkan idea-idea lagu yang berkonsepkan balada dan slow rock serta disulami oleh susunan orkestra yang dinamik.

Lagu Cukup Sekali ini mengambil masa lebih kurang setahun dan direkod sepenuhnya di Tunable Record Sdn. Bhd.

Setiap anggota The Tunable juga tidak melepaskan peluang berkarya untuk projek ini dan pemilihan lagu dibuat atas dasar kualiti yang diharapkan bakal memenuhi citarasa para peminat dengan berbekalkan lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang seni muzik.

Setelah lama menghilang dalam industri hiburan, Oja melangkah terus dalam arena seni muzik dengan bermain gitar dikelab malam seluruh Malaysia selama lebih kurang 20 tahun.

Kini Oja menzahirkan komitmen beliau terhadap muzik dengan “home recording studio” dan beberapa projek album.

Pertemuan beliau bersama Norul beberapa tahun sebelum ini mencetuskan ilham untuk bekerjasama bagi melahirkan Oja and The Tunable.

Oja menggunakan keseluruhan pengalaman yang beliau bagi membentuk satu susunan komposisi muzik yang amat berlainan dimana penekanan diberikan kepada strings orkestra dan susunan susunan muzik yang agak progresif.

Oja atau nama sebenarnya Daninas Huza bin Daud merasakan pertemuannya dengan Norule (gitaris Spoon) beberapa tahun lalu telah mengilhamkan satu “comeback” yang “daring” untuk menghasilkan album ini.

Norule atau nama sebenarnya Norul Fikri Abdul Samad pernah melahirkan tiga buah album bersama kumpulan Spoon.

Norule mengekalkan konsep analog bagi album ini untuk mendapatkan mood zaman dahulu.

Dia juga terlibat dalam susunan orkestra bersama Oja dan menitik beratkan orientasi muzikal dalam album yang serba baru ini dan turut menyumbangkan sebuah lagu.

Sementara itu, Boy atau Saiful Nizam Jelani selaku gitaris mengubah sedikit konsep dimana komposisi solo bagi album ini adalah lebih berorientasikan muzik dan agak sedikit progresif untuk mendapatkan keseimbangan dengan instrument orkestra yang lain.

Kamaruzzaman (Botak) yang merupakan pemain bass kemudiannya telah dilamar oleh Norule untuk menjayakan projek ini kerana Yahya, pemain bass asal kumpulan Spoon tidak dapat memberikan komitmen beliau untuk album ini.

Manakala Shahnaz yang juga merupakan antara anggota Spoon terawal bersama dengan Norule telah mengilhamkan “the comeback” setelah lebih 17 tahun menyepikan diri.

Dia juga telah menghasilkan sebuah lagu yang berkonsepkan ‘motivational spirit’ dalam album ini.

Single perdana Oja & Tunable Band yang berjudul Cukup Sekali ini dihasilkan oleh Norule dn lirik oleh Shahrizan Ayob (Putera Remy Merindu) serta diterbitkan oleh Tunable Record Sdn Bhd.

Terdahulu kumpulan Spoon pernah muncul dengan album Rindu Serindu-rindunya (1998), Kembali Merindu (1999) dan Kini (2001).