Pelakon Amar Asyraf menganggap tahun 2016 sebagai tahun yang kurang memberangsangkan bagi dirinya.

Amar atau nama sebenarnya, Amar Asyraf Zailudin, 30, berkata, pada tahun 2016, dia hanya terlibat dalam dua drama bersiri sahaja.

“Saya merasakan tahun ini kurang memberangsangkan bagi saya. Saya tidak begitu produktif dan tidak banyak bekerja. Bukannya tiada tawaran, tetapi banyak watak yang ditawarkan memaparkan karakter yang lebih kurang sama.

“Saya boleh katakan yang tahun 2016 sebagai tahun rehat saya. Bayangkan, kalau sebelum ini saya boleh berlakon dalam hampir empat atau lima drama bersiri, tahun ini saya hanya berlakon dalam dua drama bersiri sahaja,” kata Amar kepada Astro Gempak.

Jelas Amar, tahun 2016 banyak dihabiskan dengan kerja belakang tabir untuk kumpulan teater yang diberi nama Projek Ronggeng.

“Saya sering terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir teater yang diterbitkan oleh Projek Ronggeng. Saya menghabiskan masa sebagai sutradara dan banyak mengarah beberapa teater tahun ini.

“Saya berharap agar tahun hadapan bakal menjadi tahun yang lebih produktif bagi saya. Saya berharap dapat menerima tawaran yang berbeza dan menyemarakkan kembali kerjaya seni saya,” katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran filem Mia Tiara.

Menerusi filem terbitan Tenview (M) Sdn Bhd ini, Amar bakal membawakan watak antagonis dan penggambaran filem ini akan berlangsung pada April tahun hadapan.

Filem Mia Tiara akan diarahkan oleh Norazah Sahud dan bakal dibintangi oleh Siti Eja, Fathia Latiff, Faizal Hussein, Izzue Islam, Julia Ziegler, Hafreez Adam dan Nadiyah Shahab.

Teks oleh: Kamaruddin Razal