Naib Juara Akademi Fantasia 2016 (AF 2016), Reshma akui dia kini masih menangguhkan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Reshma atau nama sebenarnya Kareshma Martin John Patrick, 18, berkata dia terpaksa menangguhkan pengajiannya untuk membina nama sekaligus mengukuhkan lagi dirinya dalam industri muzik tanah air.

"Sepatutnya saya perlu melanjutkan pelajaran saya dalam bidang English and Creative Writing sebaik sahaja tamat AF 2016.

"Tetapi setelah fikir-fikirkan balik, lebih baik saya membina nama dan mengukuhkan lagi diri saya dalam industri kerana saya pun baru sahaja dikenali dan keluar dari AF.

"Jadi saya akan mengambil masa selama setahun untuk memberi fokus kepada karier sebelum saya menyambung pengajian saya.

"Lagi pun saya fikir saya muda, dan jika saya tangguh setahun pun ia masih tidak terlambat," katanya kepada Astro Gempak.

Bercerita mengenai kehidupannya sekarang selepas keluar dari AF 2016, Reshma memberitahu dia agak terkejut dengan populariti yang diterima.

"Sebenarnya saya tak sangka banyak orang kenal saya selepas saya keluar dari AF 2016. Ke mana-mana sahaja saya pergi orang akan tegur.

"Susah juga nak biasakan diri sebab saya ni dulu seorang yang selekeh tapi kini kalau keluar tak boleh kalau tak cuci rambut dan saya perlu lebih menjaga penampilan," katanya lagi.

Perkembangan lain, Reshma kini sedang dalam proses menghasilkan lagu sendiri untuk single terbaharu tahun hadapan.

Teks oleh: Syafiqah Jalal