Juara Gegar Vaganza 2019 (GV2019) Hady Mirza akui tergamam ketika diumumkan sebagai juara bersama dengan Naqiu Boboy pada konsert akhir Ahad lalu.

Jelas Hady, dia dan Naqiu masing-masing menantikan nama siapakah yang diumumkan sebagai juara ketika montaj menyiarkan wajah mereka berdua hingga akhir.

"Saya dan Naqiu blur sebenarnya! Lama juga tunggu siapa sebenarnya juara sebab gambar kami muncul bersama di skrin.

"Tapi Alhamdulillah, juara itu milik bersama dan syukur rezeki saya di Malaysia. Saya sangat menghargai peluang ini... Semestinya saya akan cuba bidang lain juga selain nyanyian," katanya kepada Gempak.

Selain itu, Hady akui dia tidak ralat seandainya diumumkan berada di kedudukan naib juara pada malam itu.

"Saya nak dia (Naqiu) menang dan saya akan gembira dengan keputusan itu. Saya pernah rasa menjadi juara suatu ketika dahulu dan saya nak orang lain rasa perasaan itu juga.

"Dapat tempat kedua atau ketiga pun saya tak kisah sebab saya tahu kemenangan itu menjanjikan rezeki pada masa hadapan kerana saya sendiri pernah melaluinya sendiri. Apapun, saya bersyukur kami diumumkan sebaga juara bersama," tambahnya.

GV2019 pada Ahad lalu telah menobatkan Hady Mirza dan Naqiu Boboy sebagai juara bersama program itu tahun ini sekali gus melakarkan sejarah punyai dua pemenang dalam satu pertandingan hiburan.

GV2019 telah bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Bagi yang terlepas, dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.