Pelakon Hisyam Hamid lebih selesa sekiranya dikenali menerusi kredibiliti lakonannnya berbanding populariti.

Menurut Hisyam, dia tidak meletakkan populariti sebagai misi utama sebaliknya cara untuk mengekalkan namanya dalam industri seni adalah lebih penting.

“Sejujurnya bila berada dalam industri, kita tak boleh fikir sangat pasal populariti dan secara peribadi saya tak kisah sangat mengenai perkara itu.

“Bagi saya, lebih penting untuk fikir bagaiman nak terus kekalkan nama dalam industri supaya sering diingati dan tidak hilang. Itulah merupakan satu cabaran untuk saya.

“Sama ada berkahwin atau tidak, saya rasa status tak menghalang kita sebagai anak seni untuk buat kerja kita dan dah terbukti ada juga pelakon yang sudah berkahwin masih popular serta dikenali.

“Sebab rata-ratanya peminat sekarang lebih matang dan pandai menghargai lakonan kami. Jadi lebih baik fikir macam mana nak kekalkan nama dalam industri dan masih relevan.

“Kekal relevan lebih penting berbanding populariti dan pada saya popularity itu akan datang dengan sendirinya,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Hisyam memberitahu untuk mengekalkan nama dalam industri itu bukan satu perkara yang mudah namun dia mempunyai cara yang tersendiri.

“Pada saya itu cabaran, sebab itu saya kena ada sesuatu yang membuatkan orang senang untuk bekerja dengan saya.

“Saya berpegang pada satu iaitu disiplin dan juga ‘atitude’ ketika bekerja. Bila orang nampak bersungguh-sungguh ketika bekerja jadi orang akan tahu kita serius.

“’Call time’ juga kena jaga, mungkin ada yang nampak itu perkara kecil tapi bagi saya benda yang remeh itulah yang penting.

“Saya paling suka bila ada pihak produksi yang bekerja dengan saya kata senang bekerja dengan Hisyam Hamid dan itu matlamat utama saya,” jelasnya.

Teks oleh: Mya Amri