Penyanyi Azlan & The Typewriter akui dia menerima nasib yang sama dengan Ziana Zain kerana belum mendapat separuh lagi bayaran daripada penganjur Konsert High Note yang berakhir pada 27 November lalu.

Bagaimana pun, Azlan mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan hanya menunggu sehingga bayaran dilangsaikan.

"Saya pun tidak dapat lagi separuh bayaran tersebut sama dengan Ziana Zain.

"Namun saya tidak boleh nak komen apa dan membuat keputusan untuk menunggu sahaja bayaran penuh tersebut.

"Saya bimbang nanti bila saya komen lanjut ia akan memburukkan lagi keadaan," katanya ringkas kepada Astro Gempak.

Azlan diminta mengulas mengenai perkara tersebut selepas Ziana Zain meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penganjur, DME Entertainment, Segitiga Asia dan CMPagro kerana masih belum menerima 50 peratus baki bayaran daripada mereka

Penyanyi lagu Madah Berhelah itu kemudian telah memberi tempoh sehingga 15 Disember lalu namun masih lagi tiada perkembangan positif.

Konsert yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga hari itu, turut dijayakan bersama penyanyi Jaclyn Victor.

Teks oleh: Syafiqah Jalal