Penyanyi Nora Ariffin melahirkan rasa bangga apabila siri animasi 3D muzikal kanak-kanak Ummi.. Ceritalah pada kami (UMMI), dilancarkan dalam bentuk komik bersiri.

Produk terbaru Hud Hud Media Sdn Bhd (HHMSB), komik bersiri UMMI..Ceritalah Pada Kami itu diadaptasi dari siri animasi “Ummi...Ceritalah pada kami” (UMMI) musim pertama.

Nora yang juga Pengarah Kreatif siri animasi tersebut bersama suaminya, Johan Nawawi yang juga Pengarah Urusan Hud Hud Media melahirkan rasa bangga kerana konsep pembelajaran sambil berhibur seperti yang dilakukan menerusi “Ummi...Ceritalah pada kami” (UMMI) diterima meluas dan terbuka oleh segenap lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah syukur, masyarakat Malaysia dan antarabangsa dapat menerima konsep yang kami tonjolkan, iaitu belajar sambil berhibur.

“Perjuangan kami tidak akan berhenti di sini sahaja, kami akan terus menerbitkan isi kandungan yang lebih menarik dan bermanfaat dalam masa yang sama juga, menghiburkan para pembaca,” kata Nora.

Tambahnya lagi, komik tersebut diterbitkan kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada para peminat khususnya golongan kanak-kanak dan seisi keluarga yang telah mengikuti siri ini sejak dari mula lagi.

“Naskhah ini mengandungi sebanyak 13 siri dan diantara yang terdapat di dalam buku bersiri ini adalah Kelebihan Al-Fatihah, Si Tanggang Moden, Kisah Sang Perisik, Pemimpin Terpuji dan pelbagai lagi kisah-kisah menarik untuk dibaca.

“Lebih menarik lagi UMMI mengandungi pelbagai cerita-cerita menarik yang sarat dengan nilai-nilai murni, kisah tauladan dan juga pengajaran.

“Komik ini juga dipersembahkan dengan teknik warna yang menarik dan karakter-karakter UMMI yang comel serta dihasilkan dalam bentuk yang mudah dibawa ke mana sahaja oleh semua peringkat umur,” ujarnya.

Selain dari buku komik bersiri ini, HHMSB bersama penerbit bersama Prima Kids juga bakal menerbitkan beraneka buku rangkaian UMMI seperti Buku Solat UMMI (versi Perempuan dan Lelaki), Mari Berdoa bersama UMMI, Buku Aktiviti UMMI serta yang terkini, Doodle UMMI.

Buku Komik Bersiri UMMI telah dilancarkan pada pameran tahunan Malaysia Islamic Children Fair (MICF) pada 3 Disember 2016 lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada jam 2.30 petang.

Majlis akan dirasmikan oleh Prof Dato’ Dr. Muhaya Hj Mohamad, dan dimeriahkan dengan persembahan nyanyian Voices Of Ummi juga penampilan khas dari maskot UMMI.

Disamping itu produk eksklusif UMMI juga boleh didapatkan secara online di www.hudhudshop.com, lazada.com dan aladdinstreet.com

Selain daripada itu, UMMI juga mempunyai pelbagai aplikasi menarik yang sangat bermanafaat untuk seisi keluarga yang boleh di dapati di ‘Google PlayStore’ dan ‘Apple Apps Store’.