Penyanyi Nora Ariffin memberitahu hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pakar perubatan pada jenazah anaknya, Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan tidak menemui sebarang petunjuk yang pelik.

Menurutnya, analisis doktor juga tidak menunjukkan arwah mengalami sebarang masalah serius.

Bahkan, kata Nora, saluran darah Allahyarham Alif juga dalam keadaan baik ketika kejadian.

Bagaimanapun, beliau berkata, doktor akan terus membuat siasatan mendalam berdasarkan analisis yang diperoleh daripada jenazah Alif.

“Jika diikutkan, saya tidak mahu membenarkan bedah siasat dibuat ke atas Alif. Sama juga ketika suami, Allahyarham Johan Nawawi meninggal dunia, dua tahun lalu.

“Namun, selepas membuat pertimbangan termasuk arwah masih muda dan meninggal dunia di rumah, saya mengikut prosedur polis dan saranan keluarga.

“Saya juga tidak tahu apa yang terjadi ketika itu. Takut juga kalau arwah ambil ubat atau apa-apa yang memudaratkan.

“Alhamdulillah, hasil siasatan, tiada apa yang pelik timbul (sebagai punca kematian). Saya berpuas hati dengan apa yang dilaporkan pihak hospital,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Alif anak kedua daripada empat beradik merupakan yang paling rapat dengan Nora menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya.

BACA: "Allah Uji Saya Lagi" - Anak Nora Ariffin Meninggal Dunia

Allahyarham rebah dan tidak sedarkan diri sebaik tiba di rumah selepas menghantar Nora ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Menceritakan lanjut hasil bedah siasat, Nora berkata, doktor turut memaklumkan jantung arwah Alif agak lemah.

“Saluran darah arwah okey... jantungnya dikatakan agak lemah dan gagal berfungsi sepenuhnya. Juga ada kemungkinan seperti membengkak.

“Namun, akhirnya saya reda dan percaya sudah sampai ajal Alif,” kata Nora dalam nada sebak.

Sebaik selesai proses bedah siasat di Puat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), jenazah Allahyarham Alif dibawa ke Masjid Kampung Tunku untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam bukit Kiara untuk dikebumikan berdekatan dengan pusara arwah ayahnya.

Pada 24 Mac 2017, Nora kehilangan suaminya, Allahyarham Johan Nawawi yang juga komposer ternama tanah air akibat serangan jantung.