Bekas penyanyi yang kini bergelar pengacara, Mizz Nina dipilih sebagai salah seorang fashion influencer bagi Minggu Fesyen Islamik Asia 2017 (Asia Islamic Fashion Week 2017 - AIFW2017).

Bakal berlangsung pada 30 Mac hingga 2 April 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pemilihan Mizz Nina adalah kerana statusnya sebagai seorang ikon Malaysia yang dipandang tinggi dan dihormati atas usahanya dalam dakwah, fesyen dan kerja-kerja kemanusiaan.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berasa dihargai kerana menjadi sebahagian dari AIFW2017. Ini merupakan sebuah landasan yang menarik untuk pereka fesyen modest dan mereka yang mempunyai bakat dalam bidang fesyen Islamik.

“Apa yang lebih penting, AIFW 2017 menggabungkan fesyen, kepercayaan dan kecantikan dunia fesyen Islam untuk diperlihatkan kepada dunia,” kata Mizz Nina dalam satu kenyataan kepada Astro Gempak.

Selain Mizz Nina, selebriti terkenal Indonesia, Dian Pelangi turut dipilih menjadi salah seorang fashion influencer bagi AIFW 2017.

AIFW 2017 merupakan acara dagangan yang direka khusus untuk mempersembahkan gabungan kesantunan fesyen dengan gaya terkini yang tidak lari daripada konteks Islamik.

Mengangkat tema ‘Memperkenalkan Asia Sebagai Pusat Global Fesyen Islamik’, AIFW 2017 bercita-cita untuk menjadi ruang pasaran bagi fesyen dan gaya hidup Islamik berpengaruh di Asia, dengan menyediakan medan bagi komuniti bisnes fesyen Islamik bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan.

AIFW 2017 bakal berlangsung pada 30 Mac hingga 2 April 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Teks oleh: Kamaruddin Razal