Penyanyi popular Nabila Razali telah mengikuti kelas vokal untuk memperbaiki teknik nyanyiannya.

Menurut Nabila, dia membuat keputusan untuk mengikuti kelas vokal kerana suara dalam lagu nyanyiannya sebelum ini sering dikritik netizen.

"Tak dinafikan saya ikuti kelas vokal kerana suara saya selalu dikritik netizen sebelum ini.

"Saya harus perbaiki kelemahan diri dan semestinya tidak mahu perkara yang sama berulang lagi, bagi saya, kalau saya lakukan sesuatu untuk peminat, saya akan lakukan yang terbaik," kata Nabila kepada Gempak.

Nabila berkata demikian ketika ditemui di acara Selangor Modest Fashion Gala bertempat di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Nabila, latihan vokal yang diikutinya itu lama-kelamaan membuatkan dia semakin selesa dan melakukannya untuk kebaikan diri sendiri.

"Lama-kelamaan, saya rasa selesa mengikuti kelas vokal dan sekarang saya lakukannya lebih kepada mencari kebaikan untuk diri sendiri, bukan disebabkan kritikan orang ramai semata-mata," tambahnya.

Sekadar info, Nabila mula memasuki industri hiburan tanah air selepas menyertai program Akademi Fantasia 2013 (AF2013).

Selain menyanyi, Nabila juga sudah menjinakkan diri dalam bidang lakonan dalam beberapa buah drama tempatan.