Pelakon dan penyanyi Alif Satar akui tidak mudah untuk melakukan dua perkara sekaligus iaitu menari dan menyanyi dalam teater Dia Semanis Honey Muzikal.

Menurut Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 26, dia khuatir sekiranya tidak mengingati lirik lagu dan juga langkah tarian yang diajar.

“Saya mula melibatkan diri dalam teater sejak umur 14 tahun tapi waktu itu masih muda dan sekarang bila disuruh untuk menari saya rasa badan saya agak keras.

“Tak janggal cuma nak buat dia perkara dalam satu masa itu bukan senang sebab saya perlu ingat lirik lagu dan juga step tarian.

“Setiap malam memang tak cukup tidur sebab sibuk nak menghafal lirik dan juga skrip, tapi saya tak putus asa.

“Kita buat sehabis baik dan lama-lama saya okay, ini boleh dikatakan antara cabaran saya dalam teater ini,” katanya.

Aliff ditemui sejurus selesai sidang media Dia Semanis Honey Muzikal bertempat di Istana Budaya, semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan terbarunya, Alif memberitahu buat masa ini dia hanya memberikan fokus hanya kepada teater berkenaan.

“Alhamdulillah banyak tawaran yang saya terima tapi saya terpaksa tolak untuk memberikan fokus terhadap teater ini.

“Memang mustahil untuk saya lakukan kerja lain kerana teater ini bukanlah satu benda yang boleh dibuat sambil lewa.

“Saya bukan sejenis yang tamak, bagi saya rezeki itu ada di mana-mana. Jadi saya rasa lebih baik fokus kepada satu-satu kerja terlebih dahulu,” ujarnya.

Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Datuk Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari 2017.

Selain Alif Satar, pelakon lain yang terlibat ialah Siti Nordiana, Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman sesawang www.airasiaredtic.com.

Teks oleh: Mya Amri