Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat mendedahkan ada penerbit pernah mengajaknya untuk menggunakan ‘jalan pintas’ bagi meraih populariti.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 24, memberitahu perkara ini pernah terjadi kepadanya sekitar lima tahun lalu.

“Perkara tersebut terjadi ketika saya baru tersingkir dari Akademi Fantasia 9 (AF9). Ketika itu, saya cuba mencari peluang untuk bertapak dalam bidang seni. Saya memulakan langkah dalam bidang lakonan.

“Ada penerbit cuba mengajak saya untuk menggunakan ‘jalan pintas’ bagi meraih populariti. Penerbit itu mengatakan, jika mahu popular, saya harus menurut katanya dan pernah ada artis yang berjaya sebelum ini selepas mengikuti arahan tersebut.

“Dia mengajak saya lepak bersama. Lebih menakutkan, dia pernah menghantar orang suruhannya ke set penggambaran untuk membawa saya keluar bersama.

“Saya tahu penerbit itu mempunyai niat yang tidak betul dan saya langsung tidak melayan pelawaan tersebut. Sejujurnya, perkara itu membuatkan saya rasa takut.

“Saya tak kisah, biarlah saya bertatih perlahan-lahan membina nama. Asalkan saya tidak melakukan perkara yang bukan-bukan dan boleh membawa mudarat di kemudian hari,” kata Ayda kepada Astro Gempak.

Mengakui perjalanan kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan pelakon tidak mudah, Ayda enggan dikenali kerana kontroversi.

“Sebagai seorang anak seni yang bergelar pelakon dan penyanyi, perjalanan saya sukar. Selepas keluar AF9, saya bersusah payah untuk menempatkan diri dalam bidang hiburan. Saya bermula dari bawah dan perlahan-lahan saya membina kepercayaan orang lain sehingga nama saya dikenali.

“Saya juga enggan dikenali dengan kontroversi. Kalau boleh, saya mahu elakkan perkara tersebut. Saya sangat berterima kasih kepada keluarga, stesen televisyen, stesen radio, pihak media dan peminat yang tidak putus-putus membantu saya sehingga ke hari ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, muzik video terbaru Ayda, Pencuri Hati Dangdut telah mencecah lebih sejuta tontonan. Ayda juga muncul dengan single terbaru yang berjudul Nakal Nakal Nakal, hasil kolaborasinya bersama komposer Irwan Simanjuntak.

Teks oleh: Kamaruddin Razal