Penyanyi dan pelakon Alif Satar mengakui sudah mempunyai nama untuk bayi keduanya.

Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 26, berkata, meskipun usia kandungan isterinya kini sudah memasuki tujuh bulan, mereka sudah mempunyai nama untuk bayi tersebut.

"Alhamdulillah usia kandungan isteri saya kini sudah masuk tujuh bulan dan bayi yang akan dilahirkan ini adalah perempuan.

"Untuk bayi kedua ini kami sudah merancang untuk memberi nama Ariana dan ada lagi nama sambungannya yang membawa maksud sangat bermakna tapi buat masa kini saya tidak boleh beritahu lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Alif berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan cabutan giliran persembahan untuk Anugerah Juara Lagu 31 yang diadakan di Wisma Bentley, di sini baru-baru ini.

Tambah Alif, untuk persiapan pula dia tidak begitu teruja seperti anak pertama mereka iaitu Alisya kerana sudah tahu apa yang patut dibelikan dulu.

"Mungkin untuk bayi kedua ini saya lebih bersedia dan tahu persiapan apa yang patut dilakukan dulu.

"Kami akan beli peralatan yang perlu dahulu secara berperingkat," katanya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi