Filem Wira arahan Adrian Teh meraih kutipan sebanyak RM2.2 juta dalam masa empat hari tayangan!

Berita terbabit disampaikan menerusi Instagram rasmi Astro Shaw.

"Terima kasih kepada semua yang dah tonton WIRA! Kalau belum tonton, gerak ke pawagam tau," tulis pengendali akaun terbabit.

Mula berada di pawagam semenjak 21 November iaitu Khamis lalu, filem ini mendapat respon dan reaksi positif baik daripada peminat mahupun pengkritik filem tempatan.

Malah, ramai berpendapat Wira setandingan dengan filem aksi terbitan Hollywood.

Untuk rekod, Wira berkisarkan mengenai kisah seorang bekas tentera, Hassan yang dahulunya melarikan diri akibat tidak tahan dikawal tetapi kembali ke pangkuan keluarga untuk membela nasib mereka.

Biarpun nekad untuk tidak lagi berlawan, Hassan walaubagaimanapun terpaksa bertarung demi melangsaikan hutang adiknya.

Filem yang menaruhkan aksi mempertahankan diri ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan.

Istimewanya filem ini, ia turut menampilkan pelakon Indonesia Yayan Ruhian dan Ismi Melinda, manakala pengarah popular, Dain Said juga tampil melakonkan watak antagonis bagi filem ini.

Wira diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios.

Filem ini telah pun memulakan tayangan di pawagam seluruh negara, jadi apa tunggu lagi?