Buat peminat setia Raja Pop, Michael Jackson, ini mungkin khabar gembira untuk anda semua.

Selepas menghasilkan filem yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung lebih AS$900,000 (melebihi RM 3.5 juta), penerbit Bohemian Rhapsody, Gharham King dilaporkan telah menandatangani perjanjian untuk menerbitkan sebuah filem cereka berkisarkan kehidupan dan perjalanan muzik Raja Pop yang telah meninggal dunia pada tahun 2009 itu, lapor AWANI.

Persetujuan bersama pewaris harta Jackson itu disahkan seorang jurucakap King kepada majalah hiburan Variety.

King juga dikatakan akan bekerjasama dengan penulis lakon layar filem The Aviator dan Gladiator, John Logan bagi projek tersebut.

Setakat ini filem tersebut masih belum menamakan studio atau pengedarnya.

Filem tersebut dikatakan tidak akan memberi gambaran mengenai kehidupan Michael Jackson yang pernah dituduh melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak seperti paparan dalam dokumentari kontroversi, Leaving Neverland.

Jackson meninggal dunia pada 25 Jun 2009 dan pernah berkali-kali menafikan tuduhan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Walaupun disebalik kontroversi yang melanda Raja Pop itu, legasinya terus kekal membawa perubahan besar dalam industri muzik dunia.

Sumber : Astro AWANI/Asyraf Roslan