Bekas anggota duo Sleeq, Alif memberitahu bahawa dia tidak menolak kemungkinan sekiranya satu hari nanti, kumpulan duo yang pernah mengangkat namanya bersama Syarif itu boleh kembali semula.

Bahkan, menurut Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah, 30, dia mengakui sehingga kini, namanya juga masih lagi dikaitkan dengan Sleeq.

"Syarif sekarang memang dah sibuk uruskan bisnes dan keluarga. Saya hormati dengan apa yang dibuat. Dia juga menghormati dengan keinginan saya untuk terus berkarya dengan muzik.

"Insya-Allah, sentiasa ada kemungkinan untuk kami membuat persembahan dan bekerjasama lagi pada masa akan datang.

"Sebenarnya hal itu tak perlukan usaha pun, ia hanya perlukan masa yang baik dan masa yang tepat untuk berlaku," katanya kepada Gempak.

Alif berkata demikian ketika ditemui sewaktu festival kesenian URBN.SENI yang diadakan di The Godown, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.



Dalam pada itu, katanya, buat masa sekarang dia mahu memberikan fokus terhadap kerjaya solonya terlebih dulu.

"Kalau ada pun (kembali bergabung), bukan sekaranglah. Lagipun buat masa ini saya nak bina karier solo saya. Bagi saya puaskan diri dulu," kongsinya.

Sleeq yang pernah popular dengan lagu Untuk Dia dibubarkan pada 2015 selepas sedekad ditubuhkan.