Pelakon popular Korea, Park Bo Gum menyatakan rasa terkejut apabila melihat hampir 500 ratus peminat sanggup menyambut kedatangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Menurut Park Bo Gum atau lebih mesra dengan panggilan Bo Gum ini memberitahu dia tidak sangka sambutan yang diberikan oleh peminat di Malaysia amat luar biasa.

“Ini merupakan kali bertama saya hadir ke Malaysia dan sebaik saja tiba di KLIA, saya lihat begitu ramai peminat yang menunggu saya walaupun sudah lewat malam.

“Jujur saya katakan, rasa begitu terharu melihat mereka kerana saya tidak pernah terfikir akan disambut dengan meriah seperti ini.

“Sangat diluar jangkaan, terima kasih kepada peminat yang sanggup meluangkan masa dan menunggu, saya rasa sangat gembira,” katanya ketika ditemui pada sidang media siri jelajah, 2016 -2017 Park Bo Gum Asia Tour in Kuala Lumpur bertempat di sebuah hotel pagi tadi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai acara yang bakal berlangsung esok , Bo Gum memberitahu dia tidak sabar untuk bertemu peminat dan menjanji sesuatu yang istimewa kepada mereka.

“Saya berasa amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk memulakan siri jelajah ini dan Malaysia merupakan tempat persinggahan pertama.

“Sungguh saya tak sabar rasanya nak bertemu peminat dan berinteraksi bersama mereka esok dan saya juga menyediakan sesuatu yang istimewa,” ujarnya tersenyum.

Park Bo Gum akan bertemu peminatnya esok untuk siri jelajah 2016 -2017 Park Bo Gum Asia Tour in Kuala Lumpur bertempat di Dewan Plenari, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), jam 7.30 malam.

Terdahulu, pelakon berusia 23 tahun ini semakin popular menerusi drama bersiri Love In The Moonlight.

Sebelum ini, Bo Gum juga pernah membintangi drama berjudul Wonderful Mama, Wonderful Days dan Reply 1988.

Teks oleh: Mya Amri

Kredit foto: My Kpop Huntress