Pelakon Nabila Huda mendedahkan terdapat segelintir pelakon yang hanya menghafal dialog semata-mata untuk menjayakan watak.

Menurut Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil, dia mengakui wujudnya pelakon yang banyak menghabiskan masa dengan bermain telefon sahaja di set penggambaran.

"Ada saja pelakon yang tak fokus, lepas tu tak 'deliver' dalam lakonan kerana mereka ini hanya hafal dialog.

"Kenapa? Sebab boleh rasa mereka sekadar bercakap. 'Feel' tu tak rasa.

"Sepatutnya mereka bersedia, baca skrip bukan asyik tengok telefon.

"Itu yang buat saya rasa mereka ni tahu berlakon ke tak reti berlakon? Tak memberi pun.

"Tapi kadang-kadang fikir nak habiskan kerja, terpaksa teruskan sajalah," katanya kepada Gempak.

Tambah Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) ini, dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan pendatang baru.

"Macam mana kita nak ubah gaya hidup itu? Dah jadi cara mereka. Sekarang ini semua berebut nak popular di media sosial.

"Susah untuk dikawal. Saya okey kalau pelakon baharu datang nak belajar. Dia datang minta tips berlakon dengan saya.

"Malah di set kadang-kadang saya akan bantu, sampai seminggu pun saya pernah bantu.

"Tapi kalau dah dekat sebulan nak buka kelas akademi saya pun meluat," katanya lagi.