Filem aksi terbaru arahan Adrian Teh mencatat rekod tersendiri apabila menjadi karya tempatan pertama yang ditayangkan menerusi pawagam premium 4DX di Golden Screen Cinemas (GSC).

Pada yang tidak tahu, 4DX menyediakan lebih 20 tindak balas maya termasuk haba, asap, angin, getaran dan pergerakkan yang memberi peluang kepada penonton untuk merasai pengalaman sebenar.

Bayangkan jika segala fungsi ini digunakan pada tayangan filem Wira, hebat bukan?

Gempak berkesempatan untuk merasai sendiri kehebatan teknologi ini dan ternyata pengalaman menonton Wira 4DX lebih menyeluruh.

Adegan berlawan terasa lebih impak, malah efek getaran pada setiap pukulan dalam filem ini menjadikan ia lebih dinamik.

Paling gempak adalah ketika asap keluar di dalam pawagam ketika wujudnya babak kebakaran. Selebihnya anda perlulah cuba sendiri.

Difahamkan, selain 4DX, filem Wira juga ditayangkan menerusi format D-BOX.

Sementara itu pengarah filem, Adrian Teh berkata, dia terharu kerana pihak GSC memilih Wira sebagai filem pertama Malaysia untuk ditayangkan dalam format 4DX.

"Saya tidak jangka sebenarnya, mungkin pihak GSC sendiri menilai sesuatu yang menariknya tentang Wira hingga dijadikan dalam bentuk 4DX.

"Sebagai pengarah filem saya sendiri sangat teruja untuk saksikan sendiri pengalaman baru ini. Saya harapkan penonton juga teruja dan tidak melepaskan peluang baru ini untuk menonton Wira," katanya.

Untuk rekod, Wira berkisarkan mengenai kisah seorang bekas tentera yang dahulunya melarikan diri akibat tidak tahan dikawal tetapi kembali ke pangkuan keluarga untuk membela nasib mereka.

Filem yang menaruhkan aksi mempertahankan diri ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan.

Istimewanya filem ini, ia turut menampilkan pelakon Indonesia Yayan Ruhian dan Ismi Melinda, manakala pengarah popular, Dain Said juga tampil melakonkan watak antagonis bagi filem ini.

Wira diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 November ini.