Pelakon Zahiril Adzim akui mengharapkan karya yang lebih baik daripada industri lakonan Malaysia.

Jelas Zahiril dia tidak menentang karya yang hanya hiburan semata-semata kerana tahu penonton menginginkannya.

"Sebenarnya saya mengharapkan karya-karya yang datang selepas ini lebih baik. Namun tidaklah saya menentang karya yang hanya hiburan semata-mata.

"Saya sudah berjalan di merata tempat di luar negara, apa yang saya lihat hiburan memang diperlukan dalam sebuah karya.

"Sebab kita tahu penonton memerlukannya. Dia balik kerja dalam keadaan penat, dia nak lihat perkara yang menghiburkan bukan memeningkan kepala. Tapi haruslah seimbang.

"Saya pernah pergi ke Macau. Masa tu belum banyak lagi filem-filem yang berkualiti dan saya rasa Malaysia hanya di pandang sebelah mata saja oleh negara lain.

"Saya nak apabila orang Malaysia pergi ke luar negara, ada karya kita yang boleh dibanggakan," katanya kepada Gempak.

Tambah pelakon filem One Two Jaga dia memilih untuk menjadi lebih selektif dalam menerima tawaran berlakon yang ditawarkan.

"Masih banyak benda-benda yang dalam industri ini yang masih tak berubah dan saya sudah tak boleh nak menghadap lagi benda yang macam ni.

"Dah 10 tahun pun sama juga, masalah yang sama. Jadi daripada saya mengamuk dekat set penggambaran lebih baik saya elak dan beri pada orang lain.

"Cara kerja di set saya boleh cakap masih lemah. Bukan saya nak mengecam pihak produksi malah artis sendiri pun masih ramai lagi yang lemah dan tak profesional.

"Daripada mula-mula saya masuk industri sampai sekarang, perubahan itu tak banyak.

"Sedangkan negara lain dah pergi jauh, sampai bila kita ingin menunggu?" katanya lagi.