Anggota kumpulan K-Pop terkenal BIGBANG, Taeyang akui memerlukan sedikit masa sebelum mereka membuat kemunculan semula.

Menurut Taeyang, mereka perlu berbincang dan merancang dengan baik bersama anggota kumpulan yang lain untuk mencapai kata persetujuan bersama.

“Kami memerlukan pemikiran yang bijaksana. Kami akan memikirkan tentang perkara itu dengan baik dan perlu membuat persetujuan antara satu sama lain.

“Segala perbincangan dan kata sepakat haruslah datangnya daripada kami sendiri. Kami juga mahu kembali dengan baik dan menunjukkan satu sisi yang tidak dapat kami tunjukkan sebelum ini sewaktu menjalani latihan khidmat tentera sebelum ini,” katanya,

Terdahulu, Taeyang dan Daesung telah menamatkan latihan khidmat ketenteraan mereka pada Ahad sekaligus melengkapkan kesemua anggota kumpulan BIGBANG termasuklah G-Dragon dan T.O.P.

Seungri pula bagaimanapun mengambil keputusan untuk bersara dari Industri hiburan kerana skandal yang melanda dirinya pada 11 Mac 2019.

Sumber: Allkpop