Pelawak terkenal, Shuib Sepahtu dan penyanyi Mark Adam bergandingan dalam drama bersiri sains yang bakal bersiaran di saluran Astro TVIQ, Supersains.

Supersains merupakan drama bersiri sains harian pertama di Malaysia yang berkisarkan mengenai kehidupan seharian kanak-kanak. Drama ini menerapkan elemen-elemen sains yang sudah pasti mampu menarik minat kanak-kanak.

“Kami di Astro TVIQ sentiasa mahu menampilkan idea program baru yang segar untuk tontonan penonton di rumah. Kali ini, kami tampilkan Supersains, sebuah program edutainment yang berlatarbelakangkan sains.



“Objektif utama Supersains adalah untuk menarik hati adik-adik khususnya di kalangan mereka yang berumur 7 hingga 11 tahun mempelajari dengan lebih lanjut lagi mengenai dunia sains dan menyelami rahsia dan misteri di sebalik hasil ciptaan-ciptaan hebat yang kini dimanfaatkan oleh kita semua.

"Walaupun penemuan kaedah sains ini tidak dipersembahkan seperti dalam makmal sains, tetapi ia boleh diguna pakai untuk kehidupan harian,” kata Sharifah Noraidah Syed Ismail selaku Penolong Naib Presiden Bahagian Pendidikan Astro.

Selain Shuib dan Mark, drama bersiri sains harian ini turut menampilkan Kashika Selvam Ceria Popstar, Muhd Shahidan Abdullah, Nur Damia Azhar dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri sains harian pertama di Malaysia, Supersains secara eksklusif pada setiap Sabtu bermula 10 Disember ini pada jam 11.30 pagi di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Teks oleh: Kamaruddin Razal