Penyanyi Tomok memberitahu bahawa dia tidak kisah akan status jantina anak ketiganya yang bakal lahir kelak pada tahun depan.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail, 35, itu berkata, jika diberikan keizinan-Nya, sudah pasti kedatangan bayi perempuan lebih menyerikan kehidupan mereka sekeluarga.

"Kalau ikutkan isteri memang dia teringin nak anak perempuan. Kalau tanya saya, saya tak kisah pun lelaki atau perempuan. Cumanya, kalau dapat anak perempuan, orang kata bertambahlah penyeri.

"Kami pun masih tak tahu lagi status jantina bayi. Insya-Allah hujung bulan akan lakukan pemeriksaan bersama doktor," katanya kepada Gempak.

Tomok ditemui sewaktu Majlis Sidang Media Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Tomok lagi, dia dan isteri belum lagi membuat sebarang persiapan bagi menyambut kelahiran bayi.

"Kami belum buat persiapan untuk beli barang bayi lagi. Masih awal.

"Cuma, memang teruja nak ada bayi lagi. Maklumlah jarak dengan anak kedua empat tahun. Lama dah tak ada bayi," katanya.

Tomok mendirikan rumah tangga bersama Rahayu Abbas pada tahun 2011 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Arrianshah Akid, 7 dan Andrashah Iman, 4.