Pelakon Nadia Brian membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sri Hartamas kira-kira jam 5.30 petang tadi (Rabu) terhadap blog hiburan Rotikaya.

Nadia ditemani peguam Muhammad Nur Aizat Noor Azam membuat laporan terhadap blog hiburan tersebut yang dilihat bertujuan memburukkan namanya.

"Posting bertajuk "Simpan Sikit Maruah Untuk Ke Liang Lahad", mendedahkan dengan niat jahat gambar-gambar saya yang diambil ketika majlis 'bridal shower' saya.

"Lagi pun ini bukan kali pertama mereka menulis artikel yang kurang baik tentang saya. Ogos lalu pun ada, tetapi saya hanya berdiam diri.

Tapi kali ini saya tidak boleh berdiam diri lagi kerana mereka betul-betul sudah menjatuhkan maruah saya sebagai seorang pelakon dan itu menjejaskan nama baik serta perniagaan saya," katanya kepada Gempak.

Sementara itu peguam Nadia, Muhammad Nur Aizat berkata anak guamnya mengalami tekanan selepas artikel tersebut tular di media sosial.

"Anak guam saya mengalami tekanan agak teruk kerana artikel tersebut tidak bertanggung jawab," katanya.

Nadia yang bakal melangsungkan perkahwinannya Sabtu ini juga menganggap perbuatan Rotikaya sebagai satu 'clickbait' bagi menarik minat pembaca di internet.

"Apabila saya berdiam diri sebelum ini telah menyebabkan Rotikaya mengambil kesempatan dan menggunakan saya bagi kepentingan mereka sendiri dan maruah saya dijadikan objek mereka untuk mengaut keuntungan," katanya.

Nadia melalui Aizat Shakeel & Partners menghantar notis tuntutan maaf kepada Rotikaya Media Sdn. Bhd dan memberi tempoh seminggu kepada mereka untuk melakukan demikian.

"Jika mereka gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil," kata Muhammad Nur Aizat.

Terdahulu, Nadia menyelar tindakan blog hiburan tersebut yang dianggap sengaja mensensasikan isu apabila menulis artikel hanya berdasarkan komen netizen di laman sosial.