Foto penyanyi rap dan penulis lirik terkemuka Malique bersama keluarga tular di media sosial pada petang Selasa.

Menerusi foto yang dimuat naik pengguna Facebook @Mohd Zubaidi, Malique atau digelar Mr.General itu berada di lapangan terbang ketika gambarnya dirakam.

Meskipun foto tersebut dirakam dari jarak jauh, namun warga net tetap dapat mengenali wajah penyanyi rap kesayangan ramai itu.

Perkongsian @Mohd Zubaidi itu telah mendapat lebih 2 ribu shares daripada pengguna FB dan hampir 600 komen sejak pukul 5 petang semalam.

Rata-rata pengguna FB menyatakan kerinduan mereka terhadap penyanyi rap tersebut dan berasa teruja dapat melihat foto terbaru Malique.

Sementara itu, @Mohd Zubaidi turut memberitahu dia mendapat foto tersebut daripada group lain di FB.

Sebelum ini kehilangan bekas anggota Too Phat itu secara misteri menjadi perbualan ramai sejak kumpulan terbabit berpecah pada 2005.

Sejak itu, kelibat penyanyi ini perlahan-lahan hilang dari industri hiburan. Walaupun muncul dengan lagu-lagu baru, namun Malique tidak pernah membuat kemunculan sama ada di majlis hiburan atau bersama media.