Pelakon Sharnaaz Ahmad memuat naik luahan hatinya mengenai persoalan nasib individu yang suka menganiaya orang lain dalam hidup mereka.

Kata Sharnaaz, dia adakalanya hairan mengapa Tuhan tidak menurunkan sahaja bala kepada golongan tersebut.

"Selalu aku bertanya kenapa Allah tak turunkan bala pada orang yang menganiaya kita.

"Tapi jawapannya ada dengan kita juga, sebab Allah nak kita reda dan belajar daripada kesilapan manusia yang kejam itu. Itulah balasan paling mujarab buat mereka," tulisnya di Twitter.

Status itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan netizen.

Biarpun tidak tahu maksud tersirat di sebalik perkongsian status tersebut, namun, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan pelakon berusia 34 tahun itu.

"Sabar Naz. Kami selalu bersama Naz dan Jebat. Biarkan mereka terus begitu.

"Cuma satu pesan abang buat Naz, buanglah Naz yang dulu. Yang selalu marah-marah orang lain walaupun tiada kaitan dengan Naz.

"Ingatkan.. Bila Jebat sakit, Naz mohon doa daripada semua. Siapa tahu, salah seorang yang mendoakan Jebat adalah insan yang pernah Naz Marah," tulis pemilik akaun @Leomozo.

Komen tersebut kemudian mendapat maklum balas daripada pelakon drama Awak Sangat Nakal itu.

"Ya betul ingat.. Syukur banyak dah sedar.. Terima kasih atas nasihat bang dut," jawabnya menerusi retweet komen berkenaan.

Baru-baru ini, Sharnaaz meluahkan rasa sedihnya apabila tidak dapat melihat perkembangan anaknya, Jebat Jayden yang berusia setahun sudah mula boleh berjalan.

BACA: "Perkara Yang Saya Tak Lihat.." - Sharnaaz Ahmad Terlepas Lihat Perkembangan Jebat Jayden

Sharnaaz mendirikan rumah tangga dengan usahawan Noor Nabila Mohd. Noor, pada 31 Mac 2017.

Bagaimanapun, kemelut perkahwinan mereka tercetus apabila isterinya memfailkan perceraian terhadap pelakon itu pada 31 Ogos lalu.

Sharnaaz kemudian turut memfailkan permohonan nusyuz terhadap Nabila pada 30 September.