Berdepan dengan insiden malang hingga menyebabkan kaki kanannya patah sekitar Ogos lalu, penyanyi Shalma Eliana akui sedikit trauma dengan kejadian tersebut.

Shalma berkata, dia tidak akan sesekali melakukan aksi lompatan jika berada di mana-mana kawasan kolam renang kerana ia mengingatkan kepada peristiwa hitam itu.

"Memang saya trauma, memang tak akan lompat-lompat dah. Kalau mandi tu saya ok lagi tapi kalau buat aksi lompat memang saya cukup trauma.

"Walaupun dulu saya pernah buat 'bungee jumping', tapi bila kaki saya dah retak ni memang saya trauma dan takut," katanya.

Menurutnya, cubaan untuk melakukan lompatan pada Ogos lalu itu juga hanyalah sekadar suka-suka.

"Mungkin sebab masih lagi berjiwa muda, darah muda jadi semua benda nak cuba. Doktor pun siap tanya umur berapa, bila tahu saya baru 19 tahun , dia senyum je.

"Setakat ini, keadaan kaki kanan yang patah masih lagi dalam pemantauan doktor dan dijangka mengambil sedikit masa untuk pulih. Bergantung pada badan saya juga," katanya.

Shalma ditemui pada konsert The Singing Pizza yang berlangsung di Bentley Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Konsert itu menampilkan tujuh penyanyi seperti Fazura, Fattah Amin, Alvin Chong, Thomas dan Jack, Aman RA, Zen serta Shalma sendiri.

Untuk rekod, Shalma kini tampil dengan lagu terbarunya berjudul Mahukah Kamu.

Sehingga kini muzik video yang dimuat naik di platform YouTube itu telah ditonton sehingga 72,000 kali.

BACA: Retak Tulang Kaki Kanan Lepas Terjun Kolam, Shalma Elina Hampir Putus Asa Untuk...