Seramai lapan pasangan penyanyi profesional bakal berentap untuk mendapatkan RM100,000 menerusi musim pertama program terbaru terbitan Astro, Duo Star.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Duo Star merupakan pertandingan berbeza yang pernah diterbitkan Astro sebelum ini kerana ia menyaksikan pertembungan sengit penyanyi profesional secara duet.

"Program ini akan memperlihatkan peserta berpadu suara dalam mencari keserasian sebagai pasangan duet bagi membuktikan bakat dan kebolehan menyanyi masing-masing.

"Cabaran menyanyikan lagu duet bukan mudah kerana keserasian pasangan adalah penting dalam mencari keserasian vokal agar lagu dipilih dapat dipersembahkan dengan baik.

"Atas dasar itu kami memberi kelonggaran kepada peserta memilih pasangan duet masing-masing," katanya kepada Astro Gempak.

Seramai lapan pasangan bintang duo yang bakal berentap untuk musim pertama program tersebut adalah Syamel & Ernie Zakri, Haiza & Epul Drama Band, Asfan & Aweera, Ronnie Hussein & Sarah Fazny, Awi Rafael & Kaka Azraff, Harris Baba & Ning Baizura, Ila Damiaa & Yasin dan Firman & Ayai.

Duo Star bakal bersiaran bermula 25 Disember depan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada pukul 9 malam.

Mereka akan di adili sepenuhnya oleh juri profesional yang bertanggungjawab untuk menilai persembahan iaitu penyanyi Datuk Hattan, pengarah muzik Datuk Acis dan Adibah Noor.

Manakala Datuk AC Mizal menggalas tanggungjawab sebagai hos Duo Star.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 manakala naib juara RM50,000 berserta trofi.

Lebih menarik setiap minggu pasangan duo terbaik akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 tajaan Aurawhite dan baucar Go Shop bernilai RM1,000.


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi