Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat menjelaskan yang dirinya tidak berniat untuk menyindir sesiapa selepas tindakannya merakam video aktor Sharnaaz menjadi pertikaian sesetengah pihak.

Ayda yang merakamkan video Sharnaaz berlatarbelakangkan lagu runut bunyi drama bersiri ‘Suri Hati Mr. Pilot’, Selamanya Cinta meminta maaf sekiranya tindakannya itu telah mengguris hati mana-mana individu.

“Sejujurnya saya tidak mempunyai niat untuk menyindir sesiapa. Saya dengan rendah hati memohon maaf jika ada mana-mana pihak yang terasa.

“Lagu itu ada dalam ‘playlist’ telefon bimbit saya. Saya hanya bergurau merakam video Sharnaaz ketika lagu tersebut dimainkan dan memuatnaik video tersebut menerusi Insta Stories dalam laman Instagram milik saya.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi yang saya tidak berniat mahu mempersendakan sesiapa dan saya mahu memohon maaf jika perkara tersebut mendatangkan sebarang kesulitan atau masalah,” kata Ayda kepada Astro Gempak ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video Pencuri Hati Dangdut dan single terbaru Nakal Nakal Nakal.

Dalam pada itu, Ayda turut berkongsi cabaran untuk merakamkan single terbarunya yang menjadi lagu runut bunyi bagi drama bersiri lakonannya bersama Sharnaaz, Awak Sangat Nakal.

“Menerusi lagu Nakal Nakal Nakal, saya berhadapan beberapa cabaran untuk menyudahkan proses untuk menyiapkan lagu tersebut. Masa yang sangat suntuk membuatkan saya hampir berputus asa.

“Bayangkan, lagu ini hanya dicipta dalam masa lima hari, termasuk proses mixing serta mastering. Hal ini terjadi kerana lagu ini perlu disiapkan segera untuk dimuatkan dalam promo drama bersiri Awak Sangat Nakal.

“Alhamdulillah, hasil kolaborasi saya bersama composer Irwan Simanjuntak membuahkan hasil dan akhirnya lagu ini berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya lagi.

Sementara itu, pada majlis sama Ayda turut mendapat tajaan biasiswa melanjutkan pengajian di KDU University College Utropolis Glenmarie. Jenama telefon bimbit Oppo turut melancarkan ‘OPPO F1 s Ayda Jebat’ edisi istimewa dengan harga RM1,389 di majlis sama.

Teks oleh: Kamaruddin Razal