Pelakon dan pengacara, Akhmal Nazri, 24, seronok mengacarakan program bual bicara AM Live yang telah mula disiarkan pada bulan Ogos lalu.

Menurut Akhmal, walaupun masih lagi dikenali sebagai pendukung utama watak Jibam dalam Oh My English (OME), program AM Live telah berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap dirinya sebagai seorang yang periang kepada lebih matang.

“Program ini telah memberikan saya satu platform yang lebih luas untuk mengembangkan lagi bakat saya dalam bidang pengacaraan selain lakonan.

“Ia juga membuatkan diri saya menjadi lebih serius terutama ketika menanyakan soalan kepada tetamu yang hadir ke AM Live.

“Pada masa sama, saya semakin peka dengan isu-isu semasa yang mungkin selama ini saya tidak ambil peduli,” kata Akhmal yang ditemui Astro Gempak, baru-baru ini.

Tambah Akhmal lagi, uniknya AM Live ini ialah intipati segmen yang berbeza dengan ‘morning show’ yang lain terutama segmen Usha Cuaca.

Segmen Usha Cuaca merupakan ramalan cuaca yang wajib dilakukan oleh selebriti jemputan AM Live.

“Datuk Siti Nurhaliza pernah kendalikan segmen Usha Cuaca baru-baru ini dan telah mendapat respon positif daripada penonton.

“Apabila artis yang membacakan ramalan cuaca ia nampak sangat comel dan mereka akan melakukannya dengan cara tersendiri.

“Itu antara segmen AM Live yang sering ditunggu-tunggu oleh penonton untuk melihat selebriti kesukaan mereka menyampaikan ramalan cuaca.

“Apa-apa pun, saya masih lagi hijau dalam bidang pengacaraan TV dan perlu banyak belajar daripada senior,” katanya.

AM Live disiarkan pada hari Isnin-Jumaat pada jam 9 pagi hingga 10 pagi di Astro Ria (104) dan Ria HD (132).

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir