Bintang GegarVaganza 3 (GV 3), Zarul Umbrella mahu memberikan persembahan terbaik di konsert minggu akhir GV 3 demi peminatnya.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dan gembira kerana berjaya melayakkan diri ke minggu akhir GV 3. Sebagai persiapan, saya akan berusaha untuk memberikan satu persembahan yang lebih baik berbanding minggu-minggu sebelum ini. Saya akan memberikan kelainan menerusi persembahan di pentas akhir.

“Pentas akhir GV 3 nanti akan saya lakukan sehabis baik demi peminat yang tidak henti menyokong saya semenjak minggu pertama di GV 3 lagi. Mereka merupakan tulang belakang saya untuk terus bersaing dalam GV 3,” kata Zarul kepada Astro Gempak.

Pada minggu suku akhir GV 3, Zarul berdepan dengan cabaran apabila dirinya dikejarkan ke hospital dua jam sebelum persembahan bermula kerana ‘abdominal colic’.

“Pada malam tersebut, saya hanya mahu memberikan yang terbaik sahaja dan melupakan kesakitan yang sedang saya alami. Kalau penonton perasan, ada kerusi di belakang saya sebagai persiapan jika ada apa-apa yang terjadi.

“Saya langsung tidak memikirkan mengenai keadaan saya dan mahu memberikan yang terbaik untuk semua peminat yang selama ini tak henti memberi dorongan positif.

Saya terharu kerana walaupun saya kurang sihat, mereka tetap menyokong saya. Saya mahu membuat yang terbaik di pentas akhir agar mereka bangga dengan saya,” katanya lagi.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Konsert minggu akhir GV 3 bakal menyaksikan bintang GV 3 menyanyikan dua buah lagu. Enam bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @shaifulrphoto