Peserta Lawak Solo, Nizam mengakui berlawak merupakan salah satu cara untuk dia melupakan kenangan buruk yang pernah berlaku kepada dirinya suatu ketika dulu.

Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nornizam Mohd Yusof, berkata, dahulu dia merupakan seorang penghidap penyakit kanser testikel pada tahun 2003.

"Saya rasa dengan cara melakukan komedi, ia merupakan salah satu cara untuk melupakan segala kenangan buruk yang pernah berlaku pada diri saya dan keluarga suatu ketika dahulu.

"Sebelum ini saya merupakan seorang penghidap kanser testikel pada tahun 2003 namun selepas lima tahun mendapatkan rawatan saya telah bebas daripada penyakit tersebut.

"Pengalaman tersebut juga yang membuatkan saya bersemangat berjuang untuk menghiburkan orang ramai menerusi persembahan lawak yang dilakukan di atas pentas Lawak Solo," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya lagi, keluarga dan rakan-rakannya merupakan semangat untuk dia melawan penyakit tersebut sehingga dia benar bebas daripada penyakit kanser.

"Pada mulanya saya mengakui agak risau dengan penyakit ini kerana sering berfikir bahawa tidak mampu untuk menghadapinya.

"Namun, keluarga serta kawan-kawan rapat yang banyak memberi semangat kepada saya untuk menempuhi dugaan ini sehingga bebas dari penyakit itu," katanya.

Lawak Solo disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada setiap hari Jumaat, ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134), pukul 10 malam.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.

Program ini dihoskan oleh Johan, manakala Fad Bocey juga turut memeriahkan Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.

Teks oleh: Rozaimi Zubaidi