Bekas bintang GegarVaganza 3 (GV 3), Elly Mazlein terpaksa mengelak bertemu anaknya, Putri Sara Sefhia setiap kali keluar bekerja.

“Alhamdulillah Sefhia membesar dengan baik dan kini sudah berusia lapan bulan. Kalau nak tahu sekarang saya makin sukar untuk keluar bekerja kerana dia makin manja.

“Saya terpaksa menyorok dan keluar senyap-senyap sebab dia dah pandai nak mengikut. Bila kita kata nak keluar kerja, mulalah dia buat muka sedih.

“Kadang-kadang kalau nak cium dia sebelum kerja kena ada bapa saya sekali, jadi bila ada orang pegang, dia okay. Kalau tidak, menangis sajalah jawabnya,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Dalam pada itu bercerita mengenai kerjayanya, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata dia tetap memberikan keutamaan kepada anaknya walaupun jadual kerjanya kini sangat padat.

“Untuk lakonan saya hentikan sekejap untuk memberi tumpuan kepada kerja nyanyian selain menerima undangan untuk mengadakan persembahan.

“Memang tak dinafikan jadual saya semakin padat selepas sertai GV3 dan ini merupakan rezeki Sefhia, namun sibuk macam mana pun Sefhia tetap jadi keutamaan.

“Ke mana saja saya pergi, saya akan bawa Sefhia bersama. Saya akan pastikan dapat meluangkan masa dengan dia, tak mahu dia rasa sunyi.

“Saya kena ingat, saya dah ada anak jadi kena pandai bahagikan masa antara kerja dan anak supaya dia tidak ditinggalkan selalu.

“Sebab bagi saya, apa yang saya dapat ini semuanya rezeki Sefhia jadi saya nak berikan yang terbaik untuk dia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Elly telah dilantik sebagai Duta Neng Geulis iaitu pakaian wanita selama setahun.

Teks oleh: Mya Amri