Pelakon Randy Pangalila mengakui melantik pengurus di Malaysia untuk mengembangkan lagi kariernya di negara ini.

Randy Pangalila atau nama sebenarnya Randy Dionisius Pangalila, 25, berkata, pelantikan pengurus adalah untuk menguruskan kerjaya seninya selepas menerima banyak tawaran daripada produksi di negara ini.

Katanya, dia telah menggunakan perkhidmatan pengurus dari Malaysia sejak dari bulan Februari lalu.

"Alhamdulillah dengan tawaran yang semakin banyak, saya telah melantik pengurus dari negara ini kerana tidak mampu menguruskannya secara sendiri.

"Kerana sebelum ini Elfira Loy yang banyak membantu dalam memberitahu sekiranya terdapat tawaran dan uji bakat lakonan di Malaysia.

"Jadi dengan pelantikan pengurus ini, saya berharap agar kerjaya saya akan menjadi lebih teratur dan berjalan dengan lebih lancar," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Randy, dia berharap agar pengurus yang dilantik juga akan sentiasa mencari peluang-peluang baharu untuk mengembangkan kariernya dengan lebih meluas.

Randy berkata demikian ketika di pada majlis pra tonton telemovie Oh My English (OME) : Road to Jogja, di GSC Cinema, Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Oh My English (OME) : Road to Jogja bahagian satu dan dua bakal bersiaran pada 3 dan 11 Disember ini di saluran Astro TVIQ (610), Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) pada pukul 9 malam.

OME ini bakal menyaksikan kemunculan tiga teraju pertamanya iaitu Zack, SeeYew Soon dan Mazlee bersama beberapa selebriti terkenal yang akan memeriahkan perjalanan kedua-dua telefilem ini.

Ia menceritakan bagaimana mereka bertiga ingin mencapai impian bergelar chef dan pengusaha kafe yang berjaya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi