Kumpulan The Black tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut apabila nama mereka diumumkan sebagai juara program Ceria I- Star semalam (Jumaat).

Menurut Alif, mereka tidak menyangka rezeki berpihak kepada kumpulan mereka kerana saingan yang diberikan oleh dua lagi peserta sangat hebat.

“Kami tak letak harapan tinggi untuk jadi juara kerana saingan kami semua hebat-hebat. Kami hanya melakukan yang terbaik untuk menyampaikan persembahan.

“Bila nama kami diumumkan sebagai pemenang memang rasa terkejut dan dalam masa yang sama macam mimpi pun ada.

“Alhamdulillah syukur ini rezeki kami bertiga, terima kasih kepada ibu bapa yang sering menyokong dan memberikan semangat kepada kami,” kata Alif kepada Astro Gempak.

The Black yang dianggotai oleh Alif Daniel Ahmad Rahimi, 13, Rujhan Munawwaruzzaman, 13, dan Muhammad Iddean Abdul Munir, 12, telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM 15,000 beserta sebuah trofi.

Peserta solo Danish Shah Danial, 12, dinobatkan sebagai naib juara dan meneriam wang tunai berjumlah RM 10,000 beserta sebuah trofi.

Pasangan adik beradik yang berasal dari Indonesia, kumpulan sehati Fadhil, 13, dan Dhaifina 12, selaku tempat ketiga membawa pulang wang tunai berjumlah RM 5,000 beserta sebuah trofi.

Markah peserta diadili menggunakan format penjurian profesional sebanyak 50 peratus serta undian SMS 50 peratus.

Peserta diakdili oleh juri tetap Imam Muda Asyraf, pengacara rancangan Assalamualaikum, Amin Idris dan juri jemputan pelawak Abam Bocey.

Konsert akhir, akhir lagi Ceria I-Star bersiaran secara langsung di Studio 1, Visual Three Studio, Seri Kembangan. Selangor.

Teks oleh: Mya Amri