Program realiti terbaru yang bakal bersiaran di saluran Kix HD, The Ultimate Brocation memberi inspirasi kepada penyanyi rap SonaOne untuk mencipta tiga lagu baru.

Menerusi program realiti tersebut, Sona atau nama sebenarnya Mikael Adam Lozach, 27, bersama tiga orang selebriti dari Filipina, Thailand dan Singapura menjelajah bandar Hong Kong selama lima hari.

“Program tersebut memberi saya inspirasi dalam bidang muzik. Semasa menjalani penggambaran program tersebut, saya meluangkan masa dnegan selebriti yang lain untuk berkongsi idea dan pandangan mengenai projek terbaru dan minat mereka terhadap muzik.

“Selepas pulang sahaja dari Hong Kong, saya berjaya mencipta tiga buah lagu baru. Mungkin lagu-lagu tersebut boleh dimuatkan dalam album solo saya yang akan datang,” kata Sona kepada Astro Gempak.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Hong Kong, Sona berkongsi pengalaman manisnya ketika menjalankan penggambaran program realiti The Ultimate Brocation.

“Sebelum ini, saya hanya melihat Hong Kong menerusi filem sahaja, tetapi saya belum tahu bagaimanakan sebenarnya keadaan Hong Kong. Seperti yang saya jangka, Hong Kong merupakan sebuah bandar yang sangat maju.

“Namun begitu, saya tidak menjangkakan yang Hong Kong juga turut kaya dengan budaya. Walaupun maju, penduduk di sana masih mengekalkan budaya mereka. Makanan di sana sungguh menyelerakan dan terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di Hong Kong,” katanya lagi.

The Ultimate Brocation akan mula bersiaran pada 14 Disember ini, jam 9.00 malam di Kix HD (saluran 729). Menerusi program berbentuk pengembaraan percutian ini, Sona digandingkan bersama penyanyi terkenal Filipina, Billy Crawford; DJ dan pengacara terkenal Thailand, P. K; dan chef selebriti Singapura, Bjorn Shen.

Teks oleh: Kamaruddin Razal