Pendatang baru dalam industri muzik tempatan, Sufian Suhaimi enggan dikenali sebagai seorang penyanyi lagu ‘one hit wonder’.

Terkenal dengan lagu Terakhir, Sufian mahu terus muncul dengan lagu-lagu berkualiti yang mendapat perhatian perndengar dan peminat.

“Alhamdulillah, lagu Terakhir mendapat tempat di hati peminat. Lagu tersebut juga telah layak ke Anugerah Juara Lagu 31 yang bakal berlangsung pada awal tahun hadapan.

“Namun begitu, saya tak mahu bergantung atas satu lagu. Saya enggan hanya dikenali menerusi lagu Terakhir sahaja. Saya enggan jadi penyanyi ‘one hit wonder’.

“Saya mahu bertahan lama dalam industri muzik dan mahu mencipta nama dalam bidang ini. Single kedua saya, Harus Aku telah dilancarkan dan saya berharap lagu ini turut mendapat tempat di hati pendengar,” kata Sufian kepada Astro Gempak.

Selain menyanyi, Sufian yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA ini juga berbakat dalam bidang penciptaan lagu.

“Selain menyanyi, saya juga mahu menyerlahkan bakat saya dalam bidang penciptaan lagu. Lagu ciptaan saya bersama beberapa orang teman yang berjudul Segalanya nyanyian Haqiem Rusli kini mendapat tempat di hati peminat.

“Alhamdulillah, saya menerima maklumbalas positif dan ramai pendengar sukakan lagu tersebut. Jika saya diberikan peluang serta kesempatan, saya mahu mengembangkan lagi bakat saya dalam industri muzik. Bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi sebagai komposer juga,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal