Pelakon Nazim Othman akui mencuri masa untuk mendapatkan baju terpakai daripada kedai bundle sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Jelas Nazim dia sanggup mencari sendiri pakaian yang sesuai digunakan demi menjayakan karakter sebagai jejaka kampung.

"Saya suka sebenarnya dapat menjayakan watak yang lain daripada karakter yang saya selalu dapat.

"Sebelum ini saya sering ditawarkan watak lelaki kaya dan romantik. Kali ini saya cabar diri untuk melakonkan watak-watak berlainan supaya memberi variasi dalam lakonan saya.

"Saya sudah bertahun-tahun tidak bawa watak sebagai jejaka kampung. Jadi apabila diberi peluang, saya berasa gembira.

"Untuk hidupkan watak ini, saya pergi sendiri cari baju bundle di Jalan Chow Kit untuk dijadikan sebagai 'wardrobe' watak dalam drama itu," katanya kepada Gempak.

Nazim ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Suri Katriana yang diadakan di Restoran My Elephant Thai, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Nazim, 35, atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman mendedahkan segelintir penerbit melabelkan dirinya seorang artis yang sentiasa menjaga penampilan.

"Kalau siapa yang kenal saya, mereka tahu saya seorang yang suka bersiap. Tapi untuk watak ini bukan diri Nazim.

"Kebanyakan penerbit takut untuk menawarkan watak seperti ini kepada saya kerana mereka lihat berdasarkan Instagram (IG) dengan penampilan saya semasa majlis.

"Saya tak kisah pakai baju bundle untuk hidupkan watak dalam dua drama terbaharu lakonan saya selepas ini," tambahnya lagi.

Nazim kini sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana arahan Pali Yahya.

Selain Nazim, drama Suri Katriana turut dibintangi pelakon hebat iaitu Ummi Nazeera, Ernie Zakri, Hasnul Rahmat, Zul Huzaimy, Aishah Azman, Rozita Che Wan, Nadiyaa Nisa dan ramai lagi.

Drama Suri Katriana akan mula ditayangkan mulai 29 Oktober 2019 jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Prima HD (saluran 121).